SEJARAH KAMPUNG

Kampung ini mula dikenali oleh orang - orang melayu sejak turun temurun yang merupakan kampung asal yang diasaskan oleh Datuk Janggut disekitar tahun 1852 hingga ke generasi Hj. Mangku, Hj. Mabod serta keluarga sehingga ke generasi Dato' Demang Taha.

Nama kampung Lekok diambil dari keadaan mukabumi yang berlekok di sekitar Lorong Sidang Katon dimana terdapat sebuah surau yang dikenali Surau Tok Bongkok. Di zaman ketika itu orang - orang melayu mengusahakan ladang getah, bersawah, bertani dan ke sungai bagi menjalani kehidupan harian mereka. Kampug Lekok adalah salah sebuah dari empat Kampung tertua di Negeri Melaka.

Pada ketika itu juga, orang - orang melayu menggunakan dua adat iaitu Adat Pepatih dan Adat Temenggung. Maka oleh sebab itu Sejarah mengatakan terdapat dua tanah wakaf, satu di Kampung Lekok dimana ianya dikhaskan untuk waris - waris dari Adat Pepatih dan manakala adat Temenggung di Kampung Paya Rumput.

Di masa kini arus permodenan telh berlaku dimana Kampung Lekok ditadbirkan oleh Pejabat Daerah Alor Gajah. Perubahan pesat telah menjadikan Kampung Lekok mempunyai 4 taman besar iaitu Taman Dato' Tambi Chik Karim, Taman Sri Aman, Taman Paya Rumput dan juga Taman Seri Paya Rumput yang kepadatan keseluruhan penduduk hampir berjumlah 15,000 orang.

 

SEJARAH DAERAH

Daerah dan mukim nama Alor Gajah berpunca daripada tabiat sekumpulan gajah liar yang kononnya diketuai oleh seekor gajah putih. Gajah berkenaan dilihat sangat gemar berjalan secara berkumpulan menurut alur sebatang sungai yang terdapat di bandar ini.Disebabkan itu, penduduk tempatan menamakan bandar ini sebagai Alor Gajah.Alor Gajah pada mulanya didiami oleh orang Minangkabau pada kurun ke-12.Apabila berlaku penghijrahan beramai-ramai penduduk Minangkabau di Tampin pada masa pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, maka wujudlah pemerintahan Melayu di bandar Alor Gajah.

Semasa zaman penjajahan British di Tanah Melayu, seorang pegawai British telah ditempatkan di Alor Gajah bagi mengutip hasil.Sesuai dengan peranan dan tanggungjawab tersebut, Pejabat Daerah telah ditubuhkan agar pelaksanaan tugas dapat dijalankan dengan sempurna. Pernah mempunyai landasan kereta api dari Pulau Sebang terus ke Bandaraya Melaka (melalui Alor Gajah) tetapi telah ditutup semasa pendudukan Jepun 1942.

Stesen Kereta Api Pulau Sebang yang dibuka pada tahun 1905 masih lagi beroperasi pada masa kini yang lebih dikenali dengan nama stesen Kereta Api Tampin/Pulau Sebang. Pihak KTMB sedang merancang untuk membina semula laluan kereta api hingga ke Bandaraya Melaka dari Pulau Sebang. Jika diluluskan projek itu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-10. Daerah Alor Gajah juga turut terlibat dengan Projek Landasan Kereta Api Berkembar Elektrik yang sedang giat dilaksanakan sekarang antara Seremban ke Gemas. Lokasi stesen KTMB Pulau Sebang sekarang akan dipindahkan beberapa meter ke arah selatan dari stesen sedia ada.Apabila stesen KTMB Pulau Sebang siap pada tahun 2012, ianya turut dilengkapi dengan Perhentian Bas dan Teksi Pulau Sebang. Hal ini kelak menjadikan Pulau Sebang mempunyai sistem pengangkutan bersepadu yang melibatkan kereta api, bas dan teksi. Secara tidak langsung, Projek Sebang Sentral yang pernah diuar-uarkan menjadi kenyataan. Potensi bandar Pulau Sebang akan bertambah maju.Limpahan pembangunan bukan sahaja akan berlaku di bandar Alor Gajah tetapi turut dirasai dengan lain-lain kawasan yang berhampiran.

Kerajaan Negeri Melaka mahukan Stesen KTMB Pulau Sebang kelak tidak lagi dibayangi dengan Tampin, sebaliknya Stesen KTMB ini merupakan stesen yang terletak di Daerah Alor Gajah, Melaka.Pengangkutan Alor Gajah boleh dihubungi melalui Lebuh Raya Utara-Selatan. Plaza Tol Simpang Ampat kira-kira 5 kilometer dari Bandar Gajah. Alor Gajah merupakan satu-satunya kawasan di negeri Melaka yang mempunyai stesen kereta api.Stesen Kereta Api Pulau Sebang terletak kira-kira 8 kilometer arah ke Tampin. Satu lagi stesen KTMB Daerah Alor Gajah terletak di Tebong.Walau bagaimanapun, tren antara bandar tidak berhenti di stesen ini. Namun demikian, kerja-kerja naik taraf juga dilakukan kerana laluan landasan berkembar elektrik turut melalui stesen ini. Keluasan bandar Alor Gajah ialah 699.3 km/segi bersamaan 66,302 hektar yang terdiri daripada  31 mukim.